Tuesday, November 4, 2014

Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang

Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang ialah dua orang puteri dewa kayangan yang mempunyai paras rupa dan kecantikan yang tiada tolok bandingnya ketika itu. Sesiapa sahaja yang memandang pasti akan terpikat.

Paras kedua-dua puteri anak dewa dari kayangan itu bagaikan purnama menghias alam, bersinar-sinar bergemerlapan. Alis mata, yang lentik dan ekor mata seperti seroja biru di kolam madu.
Walaupun ketinggian tubuh mereka hanyalah sederhana tetapi suara mereka cukup merdu seperti seruling bambu. Inilah kelebihan yang terdapat pada Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang.
Kehidupan Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang amat mesra sekali. Mereka diibaratkan adik-beradik kembar. Senyuman dan kegembiraan sentiasa bermain dibibir. Bergurau dan bersenda tidak lekang daripada keduanya. Mereka sentiasa sepakat dan sekata. Demikianlah kehidupan yang mereka lalui setiap hari.
“Sejenjang, selepas selesainya kerja kita berdua ini, kita bermain-main, mahu?” Tanya Puteri Santubong kepada Puteri Sejenjang yang asyik menumbuk padi.
Santubong dari arah Bako.

“Baiklah. Tapi kita mahu main apa ya?” balas Puteri Sejenjang.
“Kita main sorok-sorok di taman bunga di halaman sana. Lepas itu kita petik bunga-bunga yang telah mekar di taman.”
“Yalah Santubong! Sudah lama juga kita tidak memetik bunga-bunga di taman sana.”

Menantikan saat itu, kedua-duanya meneruskan pekerjaan masing-masing hingga selesai.
Pekerjaan Puteri Santubong dari siang hingga malam hanyalah menenun kain. Manakala Puteri Sejenjang pula asyik dengan menumbuk padi.
Pada suatu hari, ketika Puteri Santubong leka menenun kain dan Puteri Sejenjang asyik menumbuk padi, berbual-buallah mereka tentang kecantikan diri masing-masing. Mereka memuji-muji tentang kelebihan diri sendiri.
“Sejenjang! Kau lihat tak diri aku yang serba tidak cacat ini! Dengan duduk menenun seperti ini, aku dapat menjaga kerampingan pinggangku ini. Aku pasti suatu hari nanti, bila anak raja sampai ke mari, dia akan melamar dan mengahwini aku. Aduh! Betapa bahagianya di saat itu, Sejenjang?” Tanya Santubong kepada Sejenjang yang asyik menumbuk padi.
Puteri Santubong terus memuji-muji akan kecantikan dirinya. “Bila aku sudah diam di istana nanti, tentunya dayang-dayang mengelilingi aku, sambil menyikat-nyikat rambutku yang mengurai ini. Nanti mereka akan berkata, inilah anak dewa kayangan yang paling cantik pernah mereka temui. Saat itu akulah tuan puteri yang paling cantik di dunia ini.”

Puteri Sejenjang yang asyik menumbuk padi mulai merasa marah dan cuba menentang kata-kata Puteri Santubong yang menganggap dirinya sahajalah yang paling cantik. Puteri Sejenjang menyatakan dirinya yang paling cantik dan rupawan. Kecantikannya mengalahi paras rupa Puteri Santubong.
“Tidakkah kau tahu Santubong? Dengan cara berdiri menumbuk padi begini menjadikan tubuhku ini, kuat dan tegap. Subur menawan. Leher juga jinjang. Betis bagaikan bunting padi.”

“Dengan menumbuk padi ini juga jari-jemariku halus dan lenganku ini serasa tegap daripada engkau yang asyik bongkok menenun kain. Entah nanti, engkau cepat pula rebah ke bumi. Takut pula anak raja itu melamar aku dahulu,” balas Puteri Sejenjang.

Mendengar kata-kata Puteri Sejenjang, Puteri Santubong enggan mengalah. Puteri Sejenjang juga pantang menyerah. Masing-masing mahu dipuji. Akhirnya, pertengkaran antara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang semakin hangat. Masing-masing tidak dapat mengawal perasaan mereka lagi. Pertengkaran antara keduanya berlarutan.
Daripada nada suara yang rendah bertukar menjadi lantang sambil mencaci-caci dan menghina antara satu dengan yang lain.

“Sejenjang! Kalau asyik pegang antan, jangan harap betis kau tu akan jadi bunting padi. Takut lemak tak berisi. Dek antan tu jugalah jari-jemari kau tu, kesat dan kasar. Tidak seperti jari-jemariku ini yang halus serta runcing,” kata Puteri Santubong dengan bangga.

Dengan perasaan penuh dendam dan dengan amat marah, Puteri Sejenjang hilang sabar lalu menyerang Puteri Santubong dengan antan di tangan. Ayunan pukulan Puteri Sejenjang amat kuat dan cepat, lalu terkenalah ke pipi Puteri Santubong yang sedang duduk menenun kain. Menjeritlah Puteri Santubong kerana kesakitan.

Puteri Santubong bertambah marah. Puteri Santubong juga tidak berdiam diri, lantas menikam Puteri Sejenjang dengan batang belidah yang ada dalam genggamannya. Tikaman itu tepat ke arah kepala Puteri Sejenjang dan menembusinya. Maka menjeritlah pula Puteri Sejenjang sekuat-kuatnya akibat kesakitan tikaman tersebut. Berakhirlah sebuah persahabatan dan persaudaraan yang telah dijalin oleh mereka selama ini.

Kononnya akibat pergaduhan dan ayunan antan puteri Sejenjang yang terkena ke pipi Puteri Santubong menyebabkan Gunung Santubong telah terpecah menjadi dua seperti yang dilihat pada hari ini. Demikian juga dengan tikaman batang belidah oleh Puteri Santubong yang mengenai tepat ke kepala Puteri Sejenjang, menyebabkan Bukit Sejenjang pecah bertaburan menjadi pulau-ulau kecil berhampiran Gunung Santubong.

Kisah sedih di antara Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang akhirnya menjadi kenangan dan ingatan rakyat Sarawak. Maka lahirlah lagenda Puteri Santubong dan Puteri Sejenjang yang kita dengar sehingga ke hari ini.

Oh……Puteri Santubong,
Sejinjang sayang,
Kisah lama, Zaman mensia maya.
Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Manis sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun kayangan.
Oh……
Santubong puteri bertenun kain malam,
Oh……
Sejinjang puteri menumbuk padi siang.
Satu hari nya dua kelahi,
Beranuk anuk sik renti-renti,
Seorang madah dirik bagus agik,
Seorang sik ngalah walau sampai ke mati.
Udah lejuk nya duak kelahi,
Lalu bertukuk nya duak puteri,
Sejinjang mengayun aluk ke pipi,
Tebik Santubong sampai gituk ari.
Tapi Santubong membalas juak,
Lalu ditikam batang belidak,
Sampei terkena Sejinjang kepala,
Lalu bertabor jadi Pulo Kera.
Kisah Santubong, kisah Sejinjang,
Asal berkawan jadi musuhan,
Kinik tuk tinggal jadi kenangan,
Pakei ingatan sepanjang zaman.

10 SALAH FAHAM TERHADAP ISIS (Bahagian 1)

Kita memahami keadaan umat yang begitu tertekan dan tiada pembela. Hampir diseluruh Timur Tengah dari Iran hingga ke M...aghribi bahkan hampir diseluruh negara umat Islam yang lain, kita dinafikan hak untuk beramal dengan Islam dalam bentuknya yang menyeluruh dan lengkap. Samada umat Islam ditindas oleh pemimpin Islam sendiri yang korup, kerajaan beraja yang zalim, ditaktor yang menjadi tali-barut musuh Islam, pemimpin tentera yang mencengkam atau negara luar yang menjajah. Apalagi minoriti umat Islam dinegara yang bukan Islam ditindas dan didekriminasikan. Tekanan dari golongan Syiah, manipulasi ekonomi oleh kuasa besar, kepelbagaian fikrah dan amalan atas nama Islam membuatkan seolah-olah umat Islam menemui jalan buntu dan tiada pilihan.
Kemunculan ISIS yang tiba-tiba mampu mengugat lawan seolah memberi harapan baru kepada umat sebagai pembela dan penyelamat. Namun kita bimbang tertipu lagi dengan musang bertopengkan ayam. Umat Islam pernah tertipu berkiblatkan Khomeini dan Iran, menobatkan Osama dan Saddam sokongan diberi bukan kerana kita mengenal siapa mereka, tetapi kerana mereka berani mengangkat muka menentang musuh Islam, maka mereka lah `hero’ kita. Kita tidak mahu masuk lubang biawak sekali lagi.
Apabila kami cuba membuka topeng ISIS, terdapat juga antara suadara-saudara kita yang masih teruja dengan `kemenangan’ ISIS dan terkeliru memahami ISIS mempertahankan ISIS dengan melontar tohmahan kepada kami sebagai pendengki, pemfitnah, tali-barut barat, agen Amerika dan Zionis atau Syiah. Tidak ada yang kami mahukan melainkan kebaikkan kepada kita semua. Tiada keuntungan kepada untuk memburukkan sesiapa dan mana-mana kumpulan.
Islam tidak mengajar itu kepada kami. Tetapi Islam mengajar kami untuk menjaga agama kami dan saudara kami, nasihat-menasihati dalam kebenaran serta ingat-mengingati dari terpesong oleh bayangan syaitan. Kami mengajak saudara-saudara untuk berundur beberapa langkah kebelakang dan meneliti semula fitnah yang melanda umat kini. Dengan hati yang bersih dan fikiran terbuka. Dengan keikhlasan mencari kebenaran dan hidayah Allah SWT. Benarkah kita memahami fitnah yang melanda ini.

1. SEMUA TUDUHAN TERHADAP ISIS ADALAH FITNAH DAN PROPAGANDA MEDIA BARAT
Memang banyak media Barat melaporkan tentang ISIS dan tidak hairan setiap mereka mempunyai agenda tersendiri. Tetapi sumber yang melaporkan tentang ISIS bukanlah dari media Barat semata. Kebanyakan media Barat hanya memberi tumpuan kepada ISIS selepas kejatuhan Mosul pada Jun 2014.
Sebelum itu lagi telah banyak sumber yang melaporkan tentang sifat dan tindakan-tindakan ISIS samada daripada media Timur Tengah berbahasa Arab dan Inggeris, laman sosial pertubuhan ulama’, mujahiddin Iraq dan Syria, laman sosial individu, akhbar dalam talian bahkan video-video kenyataan para ulama’ Iraq dan Syria. Bagaimana mereka menggambarkan pengalaman peribadi berhadapan dengan ISIS dam laporan dari mulut para saksi.
Laman web Kesatuan Ulama Antarabangsa yang dipengerusikan oleh Sheikh Yusof Qardawi dan Ustaz Abd Hadi Awang adalah salah-seorang timbalannya [http://iumsonline.org/], Persatuan Ulama’ Iraq [http://www.heyetnet.org/] dan Persatuan Ulama’ Syria [http://ulemasuriya.wordpress.com/] dengan jelas menyatakan penolakkan mereka terhadap ISIS samada dari segi kefahamannya yang melencong dan diluar fikrah ahli sunnah wal jamaah, perbuatan dan akhlaknya yang melampau dan tidak melambangkan Islam serta tindakan mereka yang menguntungkan musuh Islam. Penolakan terhadap ISIS oleh pelbagai pertubuhan Islam, para ulama’, pemikir Islam dan pemimpin masyarakat dari pelbagai bangsa dan negara diseluruh dunia telah mencapai peringkat `jumhur’ [http://www.theonlinecitizen.com/wp-content/uploads/2014/09/List-of-scholars-against-ISIS.pdf].
Laporan dan tindakan ISIS juga boleh didapati dari sumber-sumber ISIS sendiri yang kebanyakkannya tidak berselindung bahkan berbangga dengan tindakan kejam dan melampau mereka. Mungkin sebahagian mereka ikhlas dan menyangka benar apa yang mereka lalukan, sebahagian pula mungkin mereka tidak berniat jahat tetapi terpesong pada fikrah Islam dan kefahaman jihadnya atau sebahagian pula dimasuki anasir-anasir yang sengaja ingin merosakkan perjuangan Islam dan memberi gambaran buruk kepada umatnya. ISIS mengeluarkan laporan tahunan An-Naba’ memperincikan aktiviti ketenteraan mereka termasuk pengebom berani mati. `Islamic State Report’ melaporkan aktiviti didalam wilayah yang mereka istiharkan sebagai `Daulah Islam’ manakala `Dabiq’ pula adalah majalah dalam talian (online) yang menjadi medan propaganda dan saluran merekrut anggota baru.
Video dokumentari `Flames of War’ yang dikeluarkan oleh ISIS dengan bangganya menunjuk pembunuhan kejam tanpa diberi hak-hak seorang manusia keatas penentang mereka. Ini jauh sekali dari sifat Islam yang membawa keadilan dan rahmat kepada seluruh alam. Ditambah lagi dengan pelbagai `posting’ dilaman sosial dan `facebook’ dari kalangan ahli dan penyokong ISIS yang mendedahkan fikrah, sifat, akhlak dan perbuatan mereka. Semua ini menjadi bahan analisa memahami siapakah ISIS sebenarnya.
Tidak benarlah mengatakan pandangan terhadap ISIS dibentuk oleh media Barat semata-mata. Penganalisa yang benar akan berlaku adil kerana matlamatnya bukan untuk memburukkan sesiapa atau mana-mana kumpulan tetapi menjaga kemurnian, kesucian dan kepentingan Islam dan umatnya. Memberi peringatan kepada mereka yang tersilap faham kerana mengambil berat hal umat adalah tuntutan Rasulullah SAW.
“Barangsiapa tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah mereka daripada kalangannya”. (Hadith riwayat Bukhari).
Apabila orang fasik membawa sesuatu berita, AlQuran menyuruh kita menyelidikinya dengan teliti terlebih dahulu. Sebagaimana AlQuran mengingatkan kita agar tidak menerima berita dari orang fasik bulat-bulat, ia juga tidak menyuruh kita untuk menolaknya mentah-mentah. Dizaman infomasi yang tidak terbatas hari ini, setiap berita dan maklumat yang diterima dengan mudah dan cepat boleh disilang-periksa (cross-checked) dengan pelbagai sumber yang lain.
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, Maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Al Hujurat : 6)

2. ISIS DISOKONG OLEH RAKYAT IRAQ DAN SYRIA KERANA MEREKA MEMBAWA ISLAM YANG BENAR
Ya, memang terdapat beberapa kawasan penduduk Sunni di Iraq dan Syria menyokong ISIS. Namun sokongan ini bukan atas dasar Islam. Bukan kerana mereka menyokong bentuk Islam yang dibawa oleh ISIS. Rata-rata masyarakat Muslim menolak ISIS samada di Iraq, Syria bahkan diseluruh dunia. Sunni Iraq telah bangkit menentang `al-Qaeda in Iraq’ (pertubuhan asal ISIS) sejak 2006 dan telah berjaya menghapuskannya dari area politik Iraq sehinggalah ia keluar semula pada 2013 sebagai ISIS.
Sokongan yang diberikan segelintir rakyat Sunni ada lebih kepada pertimbangan dan keperluan politik. Iraq dan Syria diperintah oleh kerajaan Syiah Nuri al-Maliki dan Bashar al-Assad. Kehidupan rakyat Sunni ditindas, dianak-tirikan, tidak diberi jawatan penting didalam kerajaan dan tentera. Percubaan rakyat Sunni menyatakan bantahan mereka secara aman dibalas dengan kekerasan dan pembunuhan oleh kerajaan Syiah Iraq dan Syria. Akhirnya mereka terpaksa mengangkat senjata mempertahankan diri dan menuntut hak. Namun perjuangan beberapa kumpulan mujahidin dan revolusi rakyat masih tidak memberi perubahan yang nyata.
Kemunculan ISIS dengan kekuatan tenteranya secara mendadak seolah-olah dilihat memberi harapan baru untuk rakyat Sunni melepaskan diri dari penindasan dan kekejaman kerajaan Syiah. Lantas segelintir rakyat memberi sokongan. Bukan kerana menyokong Islam yang ISIS bawa. Kehidupan mereka dibawah kerajaan Syiah sudah terlalu teruk, tiada ruginya memberi peluang ISIS memerintah. `They almost have nothing to lose’. Tidak kurang yang menyokong dan menyertai ISIS untuk membalas dendam terhadap kekejaman kerajaan keatas mereka dan keluarga mereka. Corak yang sama dilihat ketika Amerika menakluk Iraq pada 2003. Sokongan yang diberikan segelintir rakyat kepada Amerika bukan kerana mereka sukakan Amerika, tetapi tidak tahan lagi hidup dibawah kekejaman Saddam.
ISIS pula tahu untuk mengekalkan sokongan setempat, mereka perlu menyediakan kemudahan dan keperluan penduduk. ISIS memberi perkhidmatan awam, membuka klinik, membuka sekolah cuba menjadi `kerajaan yang baik’. Tetapi kalaulah kerajaan yang baik diukur dari perkhidmatan kepada rakyat semata, tentunya negara Barat jauh lebih baik dari kerajaan negara umat Islam. Setelah 3 bulan diperintah oleh ‘Daulah ISIS’, laporan mulai keluar dari Mosul tentang penindasan dibawah `kerajaan’ ISIS, kekurangan bekalan air bersih dan makanan, perkhidmatan awam yang tidak berfungsi, tiada peluang pekerjaan dan ekonomi yang merudum [The Guardian, Monday 27 October 2014 : Citizens of Mosul endure economic collapse and repression under ISIS rule].

3. ISIS MENENTANG SYIAH, OLEH ITU MEREKA ADALAH MUJAHIDDIN YANG BENAR
Memang benar ISIS memerangi Syiah, bahkan sangat membenci dan berdendam dengan Syiah. Setiap Syiah seolah layak dibunuh tanpa dibincang dan bicara bahkan mereka dibunuh dengan cara yang kejam dan tanpa peri-kemanusiaan. Masjid Syiah dibom hancur dan maqam ulama’ mereka dimusnahkan.
Kita tidak mempertahankan kebathilan ajaran Syiah, pada aqidah dan ibadahnya. Kita tidak menafikan bagaimana Syiah telah berlaku zalim dan kejam kepada golongan Sunni bukan saja di Iraq tetapi juga di Syria, Iran dan kini di Yemen.
Tetapi Islam mengajar kita dan Rasulullah SAW menunjukkan contoh kepada kita bagaimana sifat Islam sebagai rahmat dan membawa hidayah berurusan dengan musuhnya. Setiap yang bernyawa itu mempunyai hak dan menunaikan hak adalah kewajipan Islam. Islam tidak berurusan dengan musuhnya atas dasar dendam dan kesumat, atau dasar benci yang melampau atau emosi tanpa akal yang waras. Betapa jahat, kejam dan zalimnya musuh tidak secara automatik memberi hak kepada kita membalas sejahat, sekejam dan sezalim mereka. Kalau tidak apakah beza antara kita dan mereka.
Keharusan membalas perbuatan musuh dengan perbuatan yang sama (An Nahl : 126) bukanlah suruhan untuk membalas dendam, tetapi ingatan kepada muslimin untuk tidak melampaui batas dalam menghukum. Itu pun mestilah dalam batas akhlak Islam bahkan Allah menyuruh untuk bersabar kerana itulah yang lebih baik. As Syahid Syed Qutb menyatakan dalam tafsirnya Fizillalil Quran ketika menghuraikan ayat ini: “Walaupun Al Quran menetapkan balasan yang setimpal, namun Al Quran menyeru kepada kemaafan dan kesabaran ketika orang-orang Islam mampu mencegah kejahatan dan pencerobohan, iaitu dalam keadaan-keadaan tertentu, dimana kemaafan dan kesabaran lebih mendatangkan kesannya yang mendalam dan lebih berfaedah untuk perkembangan dakwah.”
Siapakah yang lebih zalim dari Firaun? Rekod jenayah Fir’aun tiada yang dapat menandingi. Bahkan dia mengaku sebagai Tuhan. Tetapi apabila Allah SWT menyuruh Nabi Musa as berjumpa dengan Fir’aun, dia disuruh menyampaikan dakwah dengan lembut dan hikmah kerana itulah tugas utama para Nabi yang kini menjadi warisan kita.
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”.(Thaha : 44-45)
Contoh-contoh seerah Rasulullah SAW yang dizalimi penduduk Taif tetapi menolak tawaran Jibril untuk menghukum mereka, Saidina Ali yang membatalkan niat memancung Yahudi demi menjaga keikhlasan agar tidak membunuh musuh kerana marah, Sultan Salahuddin Al Ayubi yang tidak menyerang ketika `Richard the Lion Heart’ sedang sakit adalah antara contoh Islam yang ingin membawa setiap manusia kepada hidayah Allah mengatasi perasaan pribadi. Pembukaan Kota Mekah tidak diikuti oleh pembunuhan kafir Quraish walau pelbagai kekejaman telah mereka lakukan kepada umat Islam, begitu juga pembukaan semula Kota Baitul Maqdis oleh Sultan Salahuddin Al Ayubi dari tentera Salib. Dendam kesumat atas kejahatan musuh dan pembunuhan tanpa hak diadili bukanlah dari Islam dan sunnah Rasulullah SAW. Inilah yang membezakan Islam dan ISIS. Penaklukan kawasan baru oleh ISIS akan diikuti oleh pembunuhan kaum Syiah, Kristian, Yazidi bahkan rakyat Sunni yang tidak menyokong mereka dengan mudah dihukum murtad dan kafir.
Sikap membawa hidayah dan memberi rahmah tidak sekali-kali menyuruh umat Islam bersikap dayus dan penakut. Bahkan sejarah membuktikan bahawa Rasulullah dan para sahabat adalah tegas dan teguh dalam mempertahankan hak umat dan kesucian agama.
“Telah diizinkan (berperang) bagi orang-orang yang diperangi, karena sesungguhnya mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya Allah, benar-benar Kuasa menolong mereka itu “ (Al Haj : 39)
Perang dalam Islam adalah mempertahankan agama bukan penyebaran agama dengan pedang atau peluru. Perang yang diizin dalam Islam tetap ada akhlak dan batas-batasnya. Bahkan akhlak perang inilah secara tidak langsung telah menjadi dakwah yang besar dalam membuktikan kebenaran Islam kepada musuh. Islam memelihara maruah manusia walau apapun agamanya hatta mayat yang tidak bernyawa sekalipun, menjaga wanita dan kanak-kanak yang lemah, menghormati rumah ibadat orang kafir sekalipun dan tidak memusnahkan atau merampas harta awam. Sekali lagi, inilah yang membezakan Islam dan ISIS.
Pembunuhan melampau oleh ISIS ini juga membawa kesan buruk kepada rakyat Sunni di Iraq dan Syria. Akibatnya apabila kumpulan militan Syiah menakluki kawasan Sunni, militan Syiah akan membalas semula kekejaman ISIS terhadap orang awam Sunni walaupun mereka bukanlah penyokong ISIS. Begitulah kitaran keganasan dan kekejaman berterusan.

4. ISIS ADALAH PEMBELA SUNNI, DENGAN MEMPERTAHANKAN MEREKA DARI KEJAHATAN SYIAH.
Tidak benar sama sekali. ISIS memerangi Syiah untuk membalas dendam, untuk mengusai kawasan dan untuk kepentingan politik mereka bukan kerana mempertahankan Sunni. Untuk itu mereka akan memerangi siapa saja bukan hanya Syiah. Bahkan terbukti mereka juga memerangi, bukan melindungi, rakyat Sunni terutama para mujahiddin yang tidak menyokong mereka. Mereka juga memerangi Kurdi diutara Iraq yang hampir keseluruhannya Sunni untuk merampas kawasan. Perjuangan ISIS tiada kena-mengena dengan mempertahankan rakyat Sunni dari kekejaman Maliki atau Assad, bahkan untuk mengembangkan empayar mereka sendiri.
Mufti Iraq Sheikh Khalid al Mulla dalam temubual oleh Monitor Mideast pada 1 Julai 2014 menegaskan ISIS telah membunuh lebih 300 imam, penceramah dan ulama’ Sunni semata-mata kerana mereka tidak bersetuju dengan ISIS. Sheikh Hamzah Al Issawi, Mufti Fallujah disembelih diatas mimbar manakala seorang ulama’ besar Mufti Ramadi, Sheikh Abdul Aleem As Sa’di ditembak dikepala oleh ISIS.
Pada April hingga Julai 2014, ISIS melancarkan kempen untuk merampas Deir Az Zour, wilayah di timur Syria. ISIS bukan merampas Deir Az Zour dari tentera Syiah Assad tetapi cuba merampasnya dari mujahiddin Sunni Syria yang telah membebaskan wilayah tersebut dari tentera Assad. Apabila Deir Az Zour berjaya diirampas ISIS, puluhan mujahiddin Sunni yang mempertahankan wilayah ini dibunuh kejam, ditembak dari jarak dekat dengan tangan terikat dibelakang, digantung bahkan disembelih kepala dikhalayak ramai sebagai amaran. (Amaran gambar-gambar ngeri : http://www.liveleak.com/view?i=9d4_1407419739)
ISIS juga menjadikan kumpulan mujahiddin Sunni sebagai musuh mereka. Pada 10 September 2014, 28 pimpinan tertinggi mujahiddin Ahrar As Syams syahid dalam satu pengeboman berani mati di Idlib, Syria termasuklah pemimpin tertingginya Sheikh Hasan Abboud. Dengan keanggotaan seramai 20,000 orang, Ahrar As Syams adalah antara kumpulan mujahidin yang terkuat untuk melawan tentera Assad. Pembunuhan ini memberi kesan langsung kepada kekuatan Ahrar As Syams. Walaupun bukti nyata sukar diperolehi semasa perang, semua petunjuk mengarah kepada ISIS sebagai dalang pembunuhan tersebut. Ahrar As Syam telah lama mengecam ISIS secara terbuka apabila ISIS mengisytiharkan perang kepada kumpulan mujahiddin yang lain. Seorang pemimpin Ahrar As Syams, Abu Khaled As Souri telah dibunuh oleh ISIS beberapa bulan lepas.
Terdapat juga pandangan yang cuba mengaitkan ISIS sebagai pembela Sunni akibat serangan oleh puak Houti Syiah di Yemen. Terdapat kumpulan yang berkaitan Al Qaeda bersama-sama penduduk Sunni mempertahankan Yemen dari penguasaan Syiah Houti, tetapi ISIS sendiri sudah tiada kaitan dengan Al Qaeda apabila Al Qaeda Global memutuskan hubungan dengan ISIS pada Februari 2014.

5. MENOLAK ISIS BERERTI MENOLAK `DAULAH ISLAM' DAN MENOLAK 'HUKUM ISLAM'
Setiap umat Islam dan setiap gerakan Islam mencita-citakan Daulah Islam. Kalau boleh kita semua mahu Daulah Islam terdiri sebelum terbitnya matahari esok pagi. Hukum Islam adalah aqidah kita dan melaksanakannya adalah kewajipan kita tetapi menolak ISIS jauh sekali bererti menolak Daulah Islam apalagi menolak hukum Islam. Apabila jumhur ulama’ memfatwakan bahawa penubuhan ‘Daulah Islam’ oleh ISIS adalah tidak sah dan terbatal, maka yang tertubuh bukan Daulah Islam tetapi hanyalah Daulah ISIS, Yang dibangunkan bukan Khilafah Islam tetapi Khilafah ISIS. Apabila ISIS sendiri mengenepikan perlaksanaan hukum dan akhlak Islam dan berhukum mengikut hawa nasfu dan dendam kesumat mereka, maka yang dilaksanakan mereka adalah hukum ISIS, bukan hukum Islam.
Persatuan Ulama Sedunia (International Union of Muslim Scholars - IUMS) yang dipengerusikan oleh Sheikh Yusuf Qardawi dalam kenyataan pada 4 Julai 2014 menolak pengistiharan Khilafah tersebut sebagai tidak sah, dan tiada sandaran hukum Islam. Bahkan perbuatan ini hanya memberi keuntungan kepada musuh Islam di Iraq dan Syria.

Nantikan Bahagian 2

Penulis asal;
Ar. H j. Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf
J/kuasa Pembelaan Ummah Sejagat
Pertubuhan IKRAM Negeri Selangor